Tiada noktah dalam perjuangan, mungkin ada koma sahaja

0
151
Mohd. Fadzil Hashim

CYBERJAYA – Umat Islam yang memilih ‘jalan mudah’ dan tidak sanggup berdepan dengan cabaran tidak akan mengecapi kejayaan dalam perjuangan.

Pengasas Malakat Eco, Mohd. Fadzil Hashim berkata, sebagai hamba Allah di muka bumi ini, umat Islam perlu memahami konsep kehidupan sebagai satu perjuangan yang tidak akan pernah terhenti.

“Tidak ada noktah dalam perjuangan, mungkin ada koma sahaja kerana kita hanya berhenti berjuang apabila mati.

“Selagi mana kita hidup, kita perlu terus berjuang. Dan imbuhannya adalah kejayaan di dunia dan syurga di akhirat.

“Itulah sebaik-baik pembalasan dan yang dijanjikan Allah kepada umat manusia,” katanya dalam sesi Live Facebook bertajuk ‘Hidup Untuk Berjuang’ hari ini.

Malangnya menurut Mohd Fadzil, konsep ‘perjuangan sepanjang kehidupan’ itu tidak difahami sedalam-dalamnya oleh ramai umat Islam menyebabkan ada yang memilih jalan mudah.

Bahkan katanya, ada yang selesa menjalani kehidupan secara bersendirian tanpa memikirkan sumbangan atau kerisauan pada ummah kerana tidak sanggup berjuang.

“Kita semua sedar dalam kehidupan ini kita mencari ultimate reward atau ganjaran terbaik iaitu syurga yang dijanjikan Allah kepada kita.

“Tapi tidak mungkin ia akan dikecapi dengan mudah tanpa susah payah berjuang, atau menjalani kehidupan dengan perkara-perkara asas sahaja.

“Dalam kata lain, kalau hidup kita mudah, tanpa risau apa-apa, mesti ada sesuatu yang tidak kena. Itu juga tanda iman kita lemah,” katanya.

Justeru, Mohd Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil mengingatkan bahawa konsep perjuangan tanpa noktah perlu diterapkan dalam kehidupan seharian khususnya dalam pekerjaan.

“Sebab itu saya selalu ingatkan bahawa setiap kemahiran dan kebolehan yang kita miliki dan kita buat (kerja) harus dibawa dalam konteks perjuangan sepenuh masa.

“Cuma masalahnya sekarang umat Islam menjadikan pekerjaan sebagai kehidupan dan tidak mencari hubungan antara pekerjaan dengan Allah,” katanya.

Kerana itu katanya, dalam perjuangan, umat Islam wajib beriman kepada pertolongan dan ketentuan Allah dan mengambil iktibar daripada perjuangan Rasulullah dan para sahabat.

“Pertolongan Allah ini kadang-kadang sangat pelik dan datang dalam pelbagai cara. Tapi yang paling penting kita perlu yakin dan ingat tiada jalan pintas untuk berjaya,” katanya.

Pelajar di sekolah Brainy Bunch, Cyberjaya.

Sebagai contoh katanya, penubuhan Brainy Bunch yang diasaskan kira-kira 11 tahun lalu mengambil masa kira-kira 4 tahun untuk mencapai pendapatan RM16 juta.

Namun katanya situasi berbeza pula berlaku di Malakat Mall apabila pendapatan pada tahun pertama sudah mengatasi RM18 juta.

“Di Malakat Mall, setengah tahun pertama sahaja kita sudah cecah RM13 juta. Kita sasarkan RM26 juta pada tahun ini. Tapi ia bukanlah sasaran kami, kerana sasarannya masih jauh,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru umat Islam supaya terus memberikan sokongan kepada kumpulan perniagaan Malakat Eco melalui kempen Pindah Belanja’ untuk memperkasakan ekonomi ummah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here