Tidak perlu usul undi percaya di Parlimen, dunia akan ketawakan kita jika tukar PM lagi- Tun M

0
377
Tun Dr. Mahathir Mohamad

CYBERJAYA- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen tidak perlu dilakukan.

Menurut Dr. Mahathir, pelaksanaan usul undi percaya itu tidak perlu kerana ia hanya mengundang dan memberi risiko berulang kembali pergolakan politik dalam negara.

“Saya tidak fikir perkara itu (elok dilakukan) kerana kita tak nak tukar sekali lagi Perdana Menteri.

“Kalau ke Parlimen, dia (Ismail Sabri) tak dapat majoriti, (Perdana Menteri) kena tukar lain dan dunia ketawakan kita,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Dr. Mahathir berkata demikian bagi mengulas gesaan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, supaya undi percaya terhadap Perdana Menteri dibuat segera di Parlimen.

Sementara itu ketika mengulas slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenal Ismail Sabri, beliau berkata, slogan itu perlu disusuli cara bekerja oleh pemimpin dan rakyat. 

“Kalau tukar slogan, tapi buat kerja macam itu juga tak guna…mengarut sahaja dan kita khuatir (kemampuan) dia (Ismail Sabri) bawa cara baharu atau tidak.

“Kalau kita lihat dari segi penyokong kerajaan adalah orang sama… tiada beza langsung, cuma yang tukar Perdana Menteri,” katanya.

Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Sabtu lalu, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan selepas kehilangan majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Bera itu diberi perkenan dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri selepas mendapat sokongan 114 Ahli Dewan Rakyat menerusi surat pencalonan rahsia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here