Tongkang bawa PATI rempuh bot Maritim Malaysia

0
617
Maritim Malaysia

KLANG – Sebuah tongkang yang membawa 19 orang warga asing bertindak merempuh bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor di Sungai Serdang Besar, Kapar di sini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, rempuhan itu menyebabkan bot Penggalang 41 mengalami kerosakan pada bahagian sisi badan mana semua anggota tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Beliau berkata, suspek ditahan semasa pasukan mengesan sebuah tongkang kayu yang mencurigakan sedang bergerak tanpa sebarang lampu menuju sempadan perairan Malaysia-Indonesia, kira-kira jam 1 pagi.

“Kita mendapati tongkang kayu tanpa nombor pendaftaran itu cuba menyusup keluar secara haram di kedudukan sekitar 2.5 batu nautika barat Sungai Serdang Besar.

“Sebaik dipintas untuk diperiksa, tekong tongkang terbabit bertindak agresif dan cuba meloloskan diri dengan merempuh bot Penggalang 41.

“Rempuhan itu juga mengakibatkan tongkang terbabit karam di lokasi kejadian dan kesemua 19 penumpang termasuk tekong jatuh ke laut sehingga hampir lemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Mohd Rosli berkata, mereka berjaya diselamatkan oleh anggota Penggalang 41 dengan bantuan dua aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan satu aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang juga turut serta dalam operasi itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati tongkang berkenaan membawa 19 warga asing termasuk tekong, terdiri daripada 16 lelaki dan dua wanita warga Indonesia, serta seorang lelaki warga Pakistan dengan lingkungan umur 20 hingga 45 tahun.

“Kesemua suspek ditahan, 12 daripadanya gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, manakala tujuh lagi mempunyai pasport tanpa cop keluar atau masuk secara rasmi.

“Kes akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu keluar Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan dan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

Beliau berkata, semua tahanan sudah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.

“APMM akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Maritim Malaysia.

“APMM meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here