Tuan Ibrahim seru ahli Pas bertenang, jangan timbulkan suasana gawat

0
102

TUAN_IBRAHIM_TUAN_MAN2_11032020
Tuan Ibrahim Tuan Man

CYBERJAYA – Semua ahli Pas diminta bertenang dan tidak menimbulkan sebarang suasana huru-hara susulan perkembangan semasa politik tanah air.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas dan bersama-sama rakan dalam barisan Kabinet yang lain akan menguruskan situasi itu sebaik mungkin supaya kestabilan dalam negara dapat dikekalkan.

“Saya seru semua ahli parti supaya bertenang hadapi suasana dengan berfikiran lapang dan yakin apa yang Allah atur adalah yang terbaik.

“Kita dalam hidup, kita tak tahu apa yang Allah atur tetapi kita yakin apa yang Allah susun ialah yang terbaik untuk kita dan kita beriman dengan qada dan qadar Allah dan semuanya telah ditentukan sejak azali lagi dan dirahsiakan oleh Allah supaya kita berusaha dan bekerja, Allh akan bagi pahala atas kerja kita buat.

“Apa yang penting kita kekalkan suasana ketenteraman dan kedamaian dan jangan timbulkan suasana yang gawat di kalangan masyarakat,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik dalam laman Facebook miliknya sebentar tadi sebelum menghadiri mesyuarat khas Kabinet di Bangunan Perdana Putra.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut menyeru kepada semua ahli Pas untuk terus bermunajat dan berdoa kepada Allah supaya Allah memberikan ilham, jalan dan petunjuk kepada semua pihak dalam menguruskan situasi berkenaan.

Katanya, barisan kepimpinan Pas akan sentiasa melakukan yang terbaik supaya kemelut itu dapat diselesaikan dengan jalan terbaik.

Terdahulu pagi tadi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mesyuarat khas itu susulan tersebar berita sejak semalam bahawa beliau akan meletakkan jawatan hari ini.

Susulan itu, Muhyiddin dijangka membuat satu pemakluman penting berkaitan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini.

Beliau akan menyembah maklum keputusan yang dibuat kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini dan menyerahkan kepada budi bicara baginda untuk membuat keputusan selanjutnya berdasarkan peruntukan Perlembagaan negara.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here