‘Tuanku titah wujudkan suasana politik yang aman demi rakyat’

0
98
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa di Pintu Dua Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya semua parti politik mewujudkan suasana yang harmoni demi kesejahteraan rakyat.

Kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara itu dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada upacara menghadap baginda di Istana Negara, hari ini.

Kata Anwar, Tuanku turut menitahkan supaya suasana politik negara diubah ke landasan baharu yang menekankan keharmonian dan kesejahteraan.

“Tuanku memulakan sidang dengan titah mengingatkan bahawa negara kini berdepan kemelut politik dan perlembagaan.

“Pada masa yang sama, negara turut berdepan dengan ancaman Covid-19 dan ekonomi,” kata Anwar dalam satu sidang akhbar ringkas, sebentar tadi.

Turut hadir, Presiden Amanah, Mohamed Sabu, dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Anwar kemudiannya berkata, Tuanku turut bertitah supaya calon perdana menteri yang akan datang perlu mendapat sokongan majoriti daripada parti politik.

“Bagaimanapun, Tuanku menekankan (landasan) politik perlu berubah, yang mana pihak yang menang memakan yang kalah (seperti yang berlaku sebelum ini).

“Harus ada satu kekuatan dengan semua parti dengan persefahaman baru,” katanya lagi.

Hari ini, semua ketua parti politik dititahkan menghadap Seri Paduka Baginda susulan keadaan politik semasa.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meletak jawatan susulan kehilangan majoriti di Parlimen.

Beliau kemudiannya dilantik semula sebagai Perdana Menteri interim sehingga kerajaan baharu ditubuhkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here