Tun Sakaran tokoh pemimpin disegani – PM

0
7
Ucapan takziah Ismail Sabri kepada keluarga Tun Sakaran Dandai

CYBERJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pemergian Tun Sakaran Dandai sebagai kehilangan tokoh pemimpin yang disegani.

Perdana Menteri dalam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan seluruh rakyat Sabah berkata, bekas Yang Dipertua Negeri Sabah kelapan itu mempunyai sumbangan besar dalam pembangunan negara khususnya di Sabah.

“Saya berasa amat dukacita apabila mendengar berita tentang pemergian bekas Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai pada jam 6 pagi tadi.

“Saya juga mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, diampuni segala dosa, diterima amal soleh dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya dalam catatan di Facebook beliau.

Sakaran, 91, yang juga Ketua Menteri Sabah kelapan dimasukkan ke Hospital Gleaneagles, Kota Kinabalu, Sabah sejak 18 Ogos lalu disyaki dijangkiti Covid-19, sebelum menghembuskan nafas terakhir di hospital berkenaan pada 5.30 pagi tadi.

Jenazah penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2017 itu selamat dikebumikan di Makam Pahlawan, di Masjid Negeri, Kota Kinabalu, pagi tadi.

Allahyarham disemadikan pada sekitar 11.45 pagi, mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here