UMNO desak Muhyiddin letak jawatan, dakwa kerajaan PN hilang majoriti

0
112
Sidang akhbar Ahmad Zahid Hamidi yang diadakan secara maya hari ini

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa supaya meletak jawatan kerana mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong supaya Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lalu.

Gesaan berkenaan dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO hari ini yang diadakan secara maya. 

Ahmad Zahid berkata, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Berikut adalah kenyataan penuh Ahmad Zahid yang dibacakan dalam sidang akhbar tersebut.

1. UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

2. Kenyataan terbaru Perdana Menteri hari ini, tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlahkan kekhilafan Kerajaan yang jelas telah menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong, malah mempersendakan baginda, yang hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi bukan September 2021, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

3. Bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada KDYMM Yang di- Pertuan Agong maka, Majlis Kerja Tertinggi sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin selaku Perdana Menteri.

4. Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau yang menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.

5. Surat Akuan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin sebagai Perdana Menteri telahpun dipersembahkan kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong, sekaligus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku Ketua Kerajaan.

AHMAD ZAHID BIN HAMIDI
3 Ogos 2021

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here