UMNO Kelantan desak Perdana Menteri letak jawatan

0
133
Datuk Ahmad Jazlan Yaakob

CYBERJAYA –  UMNO Kelantan mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil tangungjawab dan meletak jawatan.

Desakan itu dibuat susulan pengumuman pembatalan Ordinan Darurat yang tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pihaknya kesal dengan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang didakwa melakukan penderhakaan terhadap Agong.

“Kenyataan media Istana Negara Khamis lalu bukan sahaja mendedahkan Agong belum pun memperkenankan pembatalan semua Ordinan Darurat sebagaimana dakwaan Menteri Undang-Undang dalam Dewan Rakyat 26 Julai lalu.

“Tetapi jelas telah menitahkan supaya semua Ordinan Darurat tersebut dibahaskan dan diungkaikan di dalam parlimen sebagaimana yang diperuntukkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru Badan perhubungan UMNO Kelantan berpendirian tegas mendesak Tan Sri Mahiaddin Md Yasin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Selaku ketua kerajaan Perikatan Nasional, beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas penderhakaan yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perselisihan antara istana dan kerajaan timbul selepas Yang di-Pertuan Agong menegur kerajaan dan menyatakan rasa amat dukacita kerana Ordinan Darurat tidak dibentang dan dibahaskan di parlimen.

Kerajaan juga bertindak membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Agong.

Dalam pada itu, mengulas kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri bagi menjawab kenyataan Istana Negara, Ahmad Jazlan berkata tindakan itu menyerlahkan sikap Muhyiddin yang jelas mencabar kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja Berperlembagaan.

“Penutupan parlimen atas alasan diserang virus Covid-19 juga hanya menyerlahkan lagi sikap kerajaan yang sanggup mempermain-mainkan dan meremehkan sistem demokrasi berparlimen.

“Ini satu lagi tindakan derhaka terbaru yang dilakukan kerajaan sedangkan Agong sudah bertitah lebih daripada 3 kali mengenainya,” katanya.

Sementara itu katanya, UMNO Kelantan juga sepakat untuk terus mempertahankan dan membela Yang di-Pertuan Agong selaras dengan asas dan matlamat perjuangan parti itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here