UMNO kem Zahid Hamidi tolak tawaran Perdana Menteri

0
544
Datuk Seri Zahid Hamidi

CYBERJAYA – UMNO menolak sebarang tawaran lumayan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus berkuasa.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, UMNO tidak boleh mempertimbangkan segala tawaran daripada seorang yang sudah tiada keabsahan, apatah lagi bersifat sogokan terbuka dan terdesak hanya untuk memanjangkan hayat politik.

“UMNO menasihatkan agar rakyat dapat bertenang sehingga Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas dan tanggungjawab Perlembagaan baginda di bawah Perkara 40(2) untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu dari kalangan Ahli Dewan Rakyat.

“UMNO merakamkan penghargaan setingginya kepada 15 Ahli Parlimen UMNO yang setia dan istiqomah mempertahankan pendirian parti untuk terus membela institusi raja dan Perlembagaan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, petang tadi Perdana Menteri membuat satu pengumuman khas dengan mengajak semua parti politik termasuk pembangkang memberikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan diberikan beberapa tawaran termasuk memberikan jawatan kepada ketua pembangkang yang bersetuju dengan tawaran diberikan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri hari ini turut membuktikan bahawa beliau telah kehilangan sokongan majoriti.

Katanya, dengan pengakuan itu, Perdana Menteri sudah tiada lagi keabsahan untuk menjalankan tugas-tugas selaku Perdana Menteri yang sah sebagaimana Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, selaku ahli Parlimen yang berpegang kepada sumpah jawatan untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan, Perdana Menteri tidak wajar merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan urusan pelantikan Perdana Menteri.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here