UMNO minta Perdana Menteri tangani segera peningkatan kes Covid-19

0
119
AHMAD ZAHID HAMIDI

CYBERJAYA – Parti UMNO berharap dengan perlantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan dapat menangani segera kes Covid-19 yang dilihat semakin meningkat naik.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu penting bagi memastikan keselamatan rakyat sentiasa diutamakan.

“Diharap beliau dapat menterjemahkan hasrat parti untuk membawa aspirasi rakyat dalam usaha menangani pandemik Covid-19 dan memastikan kesejahteraan, kemaslahatan dan keselamatan mereka sentiasa menjadi keutamaan.

“Ini selaras dengan titah saranan Yang di-Pertuan Agong yang juga mahu suatu permuafakatan dan kerjasama di kalangan ahli Dewan Rakyat dapat dilakukan dengan mengakhiri segala kemelut politik demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga berharap kerajaan baharu ini berusaha memastikan kestabilan politik dapat dicapai bagi suatu tempoh munasabah sebelum memungkinkan diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15, untuk diserahkan kembali mandat mutlak kepada rakyat.

Pada masa sama, katanya, UMNO turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli-ahli Parlimen yang telah memberikan kepercayaan kepada Ahli Parlimen Bera itu untuk diperkenankan pelantikannya oleh Yang di-Pertuan Agong selaku Perdana Menteri kesembilan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here