
KUALA LUMPUR – UMNO sama sekali tidak akan mengkhianati kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tubuhkan secara bersama.
Perkara itu ditegaskan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin dalam sidang akhbarnya hari ini.
Zahidi berkata, semua ahli UMNO diminta untuk terus menyokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO.
“Kita tidak mahu UMNO sewaktu dalam keadaan badai dan ribut ini menebuk lubang pada bahtera kita.
“Kita tak nak UMNO khianati kerajaan yang kita tubuh hari ini secara bersama-sama,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Dalam pada itu, Zahidi berkata, saranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya parti itu menyokong PN tetapi tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri adalah tidak praktikal.
“Kalau nak amal dalam UMNO, kita boleh cuba. Sokong UMNO tetapi tidak sokongan Presiden. Kalau berjaya dalam UMNO, baru kita cadang kepada parti lain,” katanya.