Ustazah Asma Harun nasihat peniaga ikut cara Rasulullah berniaga, elakkan overclaim produk

0
184
Ustazah Asma Harun bersama suaminya Tengku Fazli Tengku Yahya dalam sesi sembang live Malakat Eco Talk bertajuk Kepentingan Membina Pasar Muslim bersama Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim semalam

CYBERJAYA – Usahawan Muslim khususnya digesa mencontohi sikap dan sifat Nabi Muhammad SAW dalam bidang perniagaan dengan bersikap jujur dan tidak ‘overclaim’ sesuatu produk yang dijual.

Menurut pendakwah terkenal, Ustazah Asma Harun, Rasulullah ketika berurus niaga tidak pernah menyembunyikan ‘kecacatan’ sesuatu produk dan menerangkannya dengan penuh jujur supaya tiada pelanggan yang teraniaya.

“Ciri utama Rasulullah ketika berniaga ialah kejujuran, ini kerana kejujuran ialah satu kebijaksanaan. Apabila kamu jujur dalam transaksi awal dan urus niaga awal, maka Allah akan bersama dalam urusan kamu seterusnya.

“Sifat kejujuran nabi boleh dilihat apabila pembeli bertanyakan sesuatu produk, bila ditanya sama ada poduk A atau B yang mana satu lebih bagus, baginda akan menerangkan produk mana lebih bagus walaupun baginda sendiri tidak memjual salah satu produk berkenaan.

“Selain itu, Rasulullah juga tidak sembunyikan aib sesuatu produk, contohnya zaman sekarang, di kedai kereta terpakai misalnya kalau orang tanya kereta ini pernah terlibat kemalangan tak? Selalunya mereka akan menafikan. Maknanya, kalau dari awal urusan kita sudah tak jujur, Allah dah tak akan bersama kita lagi

“Ia sama juga macam musim durian sekarang, kita tak tahu pilih durian tapi selalu kena tipu. Peniaga perlu cakap berterus terang dan Allah akan bersama kita dalam langkah berikutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi sembang live Malakat Eco Talk bertajuk Kepentingan Membina Pasar Muslim bersama Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim semalam.

Sesi sembang live Malakat Eco Talk bertajuk Kepentingan Membina Pasar Muslim bersama Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim semalam.

Dalam pada itu, Ustazah Asma turut mengambil contoh mengenai sikap peniaga yang gemar overclaim atau membuat dakwaan berlebih-lebihan terhadap produk yang dijual mereka ketika melakukan testimoni.

Mengulas lanjut, katanya, Rasulullah sendiri merupakan peniaga yang hebat dan telah didedahkan dengan selok belok perniagaan sejak berusia 12 tahun apabila mengikut bapa saudaranya, Abu Talib berniaga hingga ke Syam.

Beliau berkata, jika diukur pada zaman sekarang, perniagaan yang dilakukan oleh Rasulullah itu melibatkan perniagaan import dan eksport apabila membawa barang dari Mekah ke Syam atau keluar negara.

“Ketika berusia 12 tahun baginda sudah dibawa ke Syam, kalau naik kuda yang laju perjalanan ke sana mengambil masa selama sebulan tapi kalau naik unta perjalanannya mengambil masa lebih kurang dua bulan. Apabila Rasullullah semakin dewasa baginda semakin mahir dalam perniagaan.

“Malah, baginda juga seorang yang kreatif, kreativiti yang ditunjukkan oleh baginda waktu itu tidak pernah dibuat oleh pedagang Arab lain, zaman itu biasanya pedagang-pedagang akan bawa duit untuk ke Syam untuk membeli barang dan bawa balik ke Mekah, orang Mekah akan tunggu barang import macam orang Malaysia ke China.

“Tetapi Rasulullah buat cara lain, baginda tukar awal-awal modal dengan membawa barang Mekah untuk diniagakan di Syam walhal ketika itu kabilah lain bawa barang kosong. Apabila sampai ke Syam Rasulullah terus jual barang dari Mekah.

Ustazah Asma Harun kini terlibat dalam perniagaan penternakan lembu di ladang miliknya

“Lebih mengagumkan, kehebatan Rasulullah ialah baginda berjaya menjual barangan dari Mekah ini dalam tempoh sehari saja. Ketika pedagang lain bawa modal sahaja, Rasulullah sudah berjaya mendapat untung. Masuk hari kedua baginda sudah beli barang dan hari ketiga balik ke Mekah,” ujarnya.

Tambah Ustazah Asma, baginda juga seorang yang sangat berdisiplin tinggi dan tidak membuang masa untuk berhibur atau tinggal lebih masa di Syam seperti yang dilakukan pedagang Arab yang lain.

Katanya, pedagang Arab lain waktu itu mengambil masa antara seminggu hingga 10 hari di Syam untuk berhibur sambil menunggu barang jualan mereka habis dijual.

Beliau berkata, ketokohan baginda dalam perniagaan juga telah menarik minat seorang usahawan terkenal di Mekah iaitu Khadijah Khuwailid untuk meminta baginda menguruskan perniagaannya ke luar negara.

Ustazah Asma berkata, tujuan Khadijah menggunakan khidmat Rasulullah ialah bagi melihat sendiri dan memastikan cakap-cakap penduduk Mekah bahawa baginda seorang peniaga yang mahir, jujur, cekap dan berdisiplin adalah benar.

“Disebabkan itu Khadijah telah menghantar seorang hamba lelakinya yang bernama Maisarah untuk ikut baginda berniaga ke Syam. Ketika itu mereka berdua sahaja yang pergi untuk berdagang. Sepanjang mengikuti Rasulullah berniaga Maisarah melihat sendiri sikap dan sifat terpuji baginda.

“Maisarah sangat kagum sebab baginda sangat menjaga kebajikan pekerjanya, apabila tiba waktu rehat dan makan, mereka akan makan bersama-sama dan bila bekerja mereka akan bekerja bersama-sama.

“Sikap dan sifat Rasulullah ini sepatutnya dijadikan tauladan oleh semua,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here