Usul undi percaya kepada Perdana Menteri dibentang bulan hadapan di Dewan Rakyat

0
113

Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Satu usul undi percaya akan dibentangkan ketika sesi sidang Dewan Rakyat pada September ini bagi menentukan keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang sah.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat selepas kedudukannya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan termasuk oleh ahli Parlimen.

“Saya sedar bahawa kedudukan saya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan. Maka, saya telah menyembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September. Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan,” katanya dalam satu perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, perkara itu juga telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan baginda telah memperkenankan cadangan itu.

Sementara itu, Perdana Menteri turut memberikan jaminan bahawa, jemaah menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.

Katanya, beliau juga akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.

“Begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan.

“Saya menyeru kepada semua penjawat awam, khususnya para frontliners, agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab anda tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here