Vaksin CanSino dan Sinovac bagi enam negeri dengan kadar vaksinasi di bawah 50 peratus

0
137
Vaksin Covid-19 CanSino

CYBERJAYA – Vaksin CanSino dan Sinovac keluaran firma farmaseutikal China akan digunakan bagi meningkatkan kadar pemberian vaksin di enam buah negeri yang masih belum mencapai tahap 50 peratus penerimaan dalam kalangan populasi dewasanya.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata, negara akan menerima bekalan sehingga 3 juta dos vaksin CanSino, manakala 6 juta dos vaksin Sinovac yang sedia ada sudah mencukupi.

Vaksin Sinovac keluaran firma Sinopharm

“Vaksin CanSino tidak akan mengalami masalah pembekalan kerana kita sudah memperoleh perjanjian pembuatan dan pembekalan daripada pembuatnya,’ kata Dr. Adham Baba dalam lawatan kerjanya ke kilang Solution Biologics Sdn. Bhd. (SolBio), hari ini.

Kilang yang terletak di Bukit Jalil itu merupakan kilang pembotolan vaksin CanSino.

Dr. Adham menambah, Malaysia telah membeli sebanyak 3.5 juta dos daripada pengeluar vaksin tersebut, yang mana 500,000 dos diterima terus daripada pembuatnya, manakala 3 juta dos lagi akan dibotolkan di kilang tempatan.

Setakat ini, 200,000 dos vaksin satu suntikan CanSino telah diedarkan kepada negeri yang mempunyai kadar pemberian vaksin yang rendah.

Setakat semalam, enam negeri dengan kadar vaksin paling rendah adalah Perak (46.9 peratus), Terengganu (46.8 peratus), Johor (46.1 peratus), Kedah (44.2 peratus), Kelantan (43.9 peratus) dan Sabah (38.0 peratus).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here