Varian baharu Covid-19 yang lebih berbahaya ‘serang’ Afrika Selatan

0
225
Afrika Selatan kini bergelut dengan kes Covid-19 yang semakin meninggkat naik

JOHANNESBURG – Saintis di Afrika Selatan kini sedang memantau varian terbaharu Covid-19 dengan kadar mutasi yang luar biasa tinggi dan kekerapannya beransur-ansur meningkat dalam tempoh beberapa bulan terakhir.

Menurut Institut Nasional Penyakit Berjangkit, varian dikenali sebagai C.1.2 itu ditandai pada minggu lalu oleh ‘KwaZulu-Natal Research and Innovation and Sequencing Platform’ dalam kajian pra cetak yang belum dikaji semula.

Walaupun sebilangan besar kes Covid-19 di Afrika Selatan pada waktu ini disebabkan oleh varian Delta, yang pertama kali dikesan di India, varian baharu C.1.2 menarik perhatian saintis kerana mutasinya hampir dua kali lebih pantas daripada yang diperhatikan dalam varian global yang lain.

Kekerapannya tetap rendah, bagaimanapun dan setakat ini ia dikesan kurang daripada tiga peratus genom yang diuraikan sejak pertama kali diambil pada bulan Mei, walaupun sudah meningkat dari 0.2 menjadi 2 peratus bulan lalu.

Saintis NICD semalam memaklumkan, varian C.1.2 hanya ‘hadir pada tahap yang sangat rendah’ dan terlalu awal untuk meramalkan bagaimana ia dapat berkembang.

“Pada tahap ini kami tidak memiliki data eksperimen untuk mengesahkan, bagaimanapun ia bereaksi dari segi kepekaan terhadap antibodi.

“Tetapi, kami sangat yakin bahwa vaksin yang diberikan di Afrika Selatan akan terus melindungi orang ramai daripada penyakit dan kematian yang lebih parah,” kata penyelidik NICD, Penny Moore memetik laporan AFP hari ini.

Setakat ini, varian C.1.2 sudah dikesan di sembilan wilayah di Afrika Selatan serta di bahagian lain dunia, termasuk China, Mauritius, New Zealand dan Britain.

Afrika Selatan adalah antara negara paling teruk dilanda pandemik itu dengan lebih 2.7 juta kes Covid-19 dilaporkan setakat ini, iaitu sekurang-kurangnya 81,830 orang meninggal dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here