
KUALA TERENGGANU – Tindakan segelintir individu mengadakan majlis keraian secara sembunyi merupakan antara faktor peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di Terengganu.
Perkara itu didedahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu video yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, malam tadi.
Beliau menambah, peningkatan kes turut disumbangkan oleh aktiviti penduduk yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) semasa sambutan Aidiladha, baru-baru ini.
“Termasuklah aktiviti merentas negeri dan daerah semasa perayaan (Aidiladha) walaupun ia tidak dibenarkan,” kata Ahmad Samsuri dalam video tersebut.
Semalam, Terengganu merekodkan peningkatan mendadak kes harian baharu positif Covid-19 iaitu sebanyak 883 kes.
Selain itu, Ahmad Samsuri berkata, peningkatan kes turut disebabkan saringan kontak rapat dan saringan bersasar yang dijalankan di beberapa lokaliti di seluruh negeri ini, serta kewujudan kes-kes bergejala berpunca daripada penularan yang pantas dalam komuniti.
“Terdapat juga kemasukan pekerja kontrak warga asing dari luar Terengganu yang tidak disaring dan mencetuskan kluster antara mereka,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menambah, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan kerjasama pihak penguat kuasa pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, akan memperhebatkan aktiviti kawalan dan saringan kontak rapat serta saringan di lokaliti berisiko yang telah dikenal pasti.