WHO desak China kongsi data mentah terawal Covid-19

0
62
Tedros Adhanom Ghebreyesus

GENEVA – Kerajaan China didesak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk berkongsi data mentah daripada kes-kes terawal Covid-19 untuk dijadikan data sokongan kajian mengenai asal usul wabak berkenaan.

Gesaan itu dibuat badan dunia itu ketika jumlah kematian akibat pandemik itu kini mencecah 4.3 juta nyawa di seluruh dunia, lapor media luar semalam.

Menurut WHO, maklumat mengenai penularan kali pertama di bandar Wuhan itu sangat diperlukan untuk membongkar rahsia virus berkenaan justeru mendesak Beijing memberikan semua data dan akses agar kajian seterusnya dapat dimulakan dengan segara.

Desakan itu dipercayai dilakukan WHO selepas kajian sebelum ini tidak dapat mengemukakan kesimpulan yang kukuh mengenai virus berkenaan sebaliknya hanya menggariskan empat hipotesis.

Dalam kajian itu, saintis mempercayai kemungkinan paling besar adalah virus terbabit berpindah daripada kelawar kepada manusia melalui haiwan perantara manakala dakwaan kebocoran makmal virologi di Wuhan pula ditolak kerana dianggap tidak masuk akal.

Bagaimanapun siasatan WHO itu dikritik sebagai kurang telus kerana tidak mempunyai akses kes di China yang mencukupi, serta tidak mengkaji teori kebocoran makmal berkenaan secara lebih mendalam.

Selepas meneliti laporan fasa pertama itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, merumuskan bahawa siasatan terhadap makmal virologi di Wuhan masih belum mencukupi.

Sementara itu saintis Denmark, Peter Ben Embarek yang mengetuai misi antarabangsa ke Wuhan, berkata seorang kakitangan makmal terkena jangkitan ketika mengambil sampel di lapangan, merupakan salah satu hipotesis kemungkinan mengenai cara virus terbabit berpindah daripada kelawar kepada manusia.

Beliau memberitahu saluran televisyen awam Denmark, TV2 bahawa kelawar disyaki itu bukan dari rantau Wuhan, dan satu-satunya orang yang berkemungkinan mendekati haiwan itu ialah petugas dari makmal Wuhan.

“Bagi menangani ‘hipotesis makmal’ itu, adalah penting untuk mendapat akses kepada semua data serta amalan saintifik yang difikirkan terbaik, dan meneliti mekanisme WHO yang sedia ada,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here