
CYBERJAYA – Parti UMNO menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah hilang majoriti setelah jumlah ahli Parlimen parti itu yang bertindak menarik semula sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melebihi daripada angka yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehubungan itu kenyataan Perdana Menteri dalam satu Perutusan Khas hari ini yang mendakwa kerajaan masih mempunyai majoriti adalah tidak benar.
“Sebelum ini PN hanya mempunyai 114 ahli Parlimen yang menyokong. Saya telah mempersembahkan warkah yang melampirkan lapan Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai lalu, bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri.
“Ini cukup untuk menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti, biarpun sebenarnya jumlah berkenaan melebihi daripada itu.
“Setelah Majlis Kerja Tertinggi membuat ketetapan mutakhir pada semalam, bagi menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri, atas asas mahu berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, jumlah Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO telah bertambah lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, berikutan itu pada hari ini satu lagi warkah telah diutus kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan surat akuan tambahan sebagai lanjutan warkah terdahulu.
Pada masa sama, katanya, UMNO mencabar kerajaan untuk segera memanggil Sidang Khas Parlimen untuk membuktikan Perdana Menteri masih mempunyai majoriti tanpa menunggu sehingga Persidangan Parlimen pada bulan September.
Terdahulu, Perdana Menteri menegaskan masih mempunyai jumlah ahli Parlimen majoriti dan menolak tanggapan kerajaan PN telah runtuh.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, bagi mengesahkan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri, satu usul akan diadakan dalam sidang Dewan Rakyat pada bulan hadapan.-MT