13 kem PLKN dijadikan penjara satelit

0
58
Gambar hiasan kem PLKN

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menjadikan 13 buah kem Program Latihan Khidmat Negara sebagai kem penjara satelit sebagai langkah mengurangkan kesesakan dan penularan Covid-19 di penjara seluruh negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, penjara satelit tersebut akan digunakan untuk menempatkan banduan-banduan baharu sebelum dimasukkan ke penjara.

“Penjara sementara ini telah diwartakan di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995 sebagai ‘admission prison’,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) bertanyakan usaha kerajaan menyelesaikan kesesakan penjara berikutan penularan jangkitan Covid-19 di kalangan banduan.

Jabatan Penjara Malaysia sebelum ini mendedahkan kapasiti penempatan banduan di seluruh negara ketika ini berjumlah 69,507 yang melebihi kapasiti sebenar iaitu 61,242

Ismail berkata, antara langkah lain diambil Jabatan Penjara dalam menangani masalah kesesakan penjara dan penularan Covid-19 ialah memindahkan banduan ke penjara kurang sesak.

Beliau berkata, Jabatan Penjara turut mewujudkan pusat transit penerimaan di institusi penjara untuk menempatkan banduan sabitan dan reman kategori risiko keselamatan minimum dengan mengambil kira keperluan pengasingan berdasarkan tarikh-tarikh kemasukan.

Katanya, setakat ini kes kumulatif Covid-19 melibatkan banduan dan kakitangan penjara serta keluarga mereka adalah 51,123 orang termasuk sembilan bayi.

Menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai suntikan vaksin Covid-19 kepada banduan, Ismail memberi komitmen kesemua kakitangan penjara dan banduan akan dipastikan menerima suntikan vaksin.

“Kita akan buat secara berkala dan memastikan supaya tindakan terus dapat dilakukan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here