140,608 individu hilang kerja sejak Mac tahun lalu

0
9


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 140,608 individu dilaporkan hilang pekerjaan sejak Mac 2020 sehingga 20 Ogos lalu iaitu ketika negara dilanda wabak Covid-19. 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, data itu berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Saravanan berkata, kerajaan sedar serta amat prihatin terhadap impak Covid-19 di kalangan rakyat yang serius.

 “Dalam tempoh tidak menentu ini ramai pekerja yang kehilangan pekerjaan atau diberhentikan, memerlukan sokongan dan bantuan.

“Sehubungan itu, antara tindakan kerajaan bagi menangani kehilangan pekerjaan adalah menyalurkan bantuan dengan membantu Orang Berinsurans yang telah kehilangan pekerjaan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang ingin tahu statistik kehilangan pekerjaan di kalangan rakyat sejak pandemik Covid-19 melanda dan apakah tindakan kerajaan menanganinya.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, bantuan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) meliputi faedah berbentuk kewangan dan bantuan pencarian pekerjaan seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Latihan dan pembiayaan fi latihan.

Sementara itu katanya, sehingga kini lebih 1 juta pencari kerja telah berdaftar di Portal Pekerjaan MYFutureJobs di mana dari 1 Januari 2021 sehingga Ogos 2021, 203,102 individu berjaya mendapat pekerjaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here