5,000 guru sertai YGMB sejak pandemik Covid-19

0
42


Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Zulkernai Fauzi menyampaikan Khairat Kematian YGMB kepada Asiah Jusoh di Hotel Perdana di Kota Bharu hari ini

KOTA BHARU – Sebanyak 5,000 warga pendidik membuat keputusan menyertai Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sejak penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pertambahan ahli itu menjadikan jumlah keseluruhan guru yang menyertai YGMB kini mencecah lebih 100,000 orang.

Wan Munadi berkata, penyertaan itu juga disebabkan oleh kesedaran guru-guru mengenai manfaat yang diterima oleh mereka selepas kes jangkitan Covid-19 di negara ini meningkat.

“Menerusi salah satu skim YGMB, kita akan memberi bantuan kewangan sebanyak RM300 kepada guru-guru sekiranya mereka dijangkiti Covid-19.

“Setakat ini, YGMB telah membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk bantuan secara ‘one-off’ itu sekali gus dapat membantu meringankan beban ahli yang terkesan,” katanya.

Wan Munadi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Manfaat Khairat Kematian YGMB di Hotel Perdana hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Zulkernai Fauzi menyerahkan borang keahlian Skim Emas YGMB beliau serta borang keahlian warga pendidikan di Kelantan kepada Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Zulkernai Fauzi, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Amran Ghani dan Ahmad Yani Muhammad.

Dalam majlis itu, YGMB menyalurkan Khairat Kematian sebanyak RM8,000 kepada Asiah Jusoh, 49, selepas suaminya, Khairudin Salleh,50,  meninggal dunia akibat radang hati April lalu.

Khairudin yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan, Pengkalan Kubor 1, Tumpat sudah berdaftar sebagai ahli YGMB sejak sembilan tahun lalu.

Sementara itu, Zulkernai berkata, beliau berharap guru-guru di Kelantan dapat menyertai YGMB kerana setiap yang berdaftar akan menerima banyak manfaat.

“Sebagai contoh, khairat kematian yang diterima Asiah ini secara tidak langsung menunjukkan keperihatinan YGMB dalam memastikan golongan pendidik terus dibantu.

“Dengan keadaan pandemik Covid-19 ketika ini, kita tidak tahu perkara yang akan terjadi pada masa hadapan. Dengan menyertai YGMB ini, ia merupakan salah satu usaha golongan guru sekiranya berdepan musibah kelak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here