8,269 murid sekolah dijangkiti Covid-19

0
105
Datuk Dr Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 8,269 murid dan pelajar sekolah telah dijangkiti Covid-19 sepanjang sesi persekolahan yang bermula pada 20 Januari hingga 7 Mei lalu.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, jumlah itu membabitkan 4,086 murid sekolah rendah dan 4,173 pelajar sekolah menengah.

“Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa membuat perancangan teliti bagi memastikan pengoperasian sekolah secara bersemuka berjalan dengan teratur dan selamat,” katanya memetik laporan Berita Harian menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah kes Covid-19 membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah.

Menjawab soalan Mukhriz mengenai status peperiksaan utama negara, Radzi berkata, peperiksaan bertulis Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2021 akan dilaksanakan pada Mac tahun depan.

Katanya, peperiksaan Semester 2 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 pula, akan dilaksanakan pada 25 hingga 28 Oktober ini.

“Pengurusan pengendalian peperiksaan SPM, STAM dan STPM 2021 adalah berpandukan kepada Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 dikeluarkan oleh KPM.

“Garis panduan ini adalah rujukan kepada pegawai bahagian di KPM, jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD), pentadbir serta guru di sekolah, ibu bapa dan pihak yang terbabit mengenai pengoperasian sekolah termasuk pengurusan pengendalian peperiksaan awam,” katanya.

Beliau menegaskan, KPM sentiasa komited melakukan yang terbaik demi generasi masa depan negara.

“Walaupun berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19 yang sangat mencabar, peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia STAM kendalian Lembaga Peperiksaan (LP) serta peperiksaan STPM kendalian Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) untuk tahun ini akan tetap dilaksanakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here