
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong mengakhiri titah ucapan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 dengan tiga rangkap pantun yang penuh bermakna sebagai nasihat kepada Ahli Dewan Rakyat.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga sempat berjenaka bahawa pantun berkenaan tidak dapat dijawab dan sesiapa yang ingin membalas pantun tersebut perlu menunggu tahun hadapan.
Berikut merupakan pantun Baginda:
Dari Segamat ke Kota Tinggi,
Hajat mulanya ke Kuala Pahang;
Kepada Yang Berhormat ikhlas berbakti,
Tidaklah rakyat gusar dan bimbang.
Kalau memandang langit yang tinggi,
Jangan dilupa rumput di bawah;
Bekerjalah Yang Berhormat sepenuh hati;
Martabatkan negara kembali bermaruah.
Rempah halia digaul diuli,
Buat ramuan nasi kebuli;
Sumpah setia ketaatan diberi,
Pertahankan negara dan ibu pertiwi.
Baginda kemudian mengucapkan selamat bersidang kepada Ahli Dewan sebelum berangkat meninggalkan majlis.