Agong: Jangan jadikan masa depan negara sebagai taruhan

0
39

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar masa depan negara tidak menjadi taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

Al-Sultan Abdullah bertitah, ketika ini lebih setahun berlalu, negara masih belum bebas sepenuhnya daripada pandemik sehingga menyebabkan rakyat dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam.

“Beta menyeru kepada ahli-ahli Yang Berhormat sekalian untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat beta dan negara tanah tumpahnya darah kita,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.

Titah Al-Sultan Abdullah lagi, terlalu ramai rakyat Malaysia yang terkesan dengan penularan pandemik dan ramai juga yang kehilangan sumber rezeki.

“Ratusan pucuk surat telah beta terima dari rakyat beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa,” titah Baginda.

Sebelum mengakhiri titah, Seri Paduka Baginda mendoakan agar Malaysia dan rakyat terus diberkati.

“Semoga Malaysia serta rakyat yang beta kasihi akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindunganNya,” titah Baginda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here