Agong rasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini

0
10
Parlimen

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Sidang Parlimen ini adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat yang dipaparkan di laman rasmi Parlimen, sidang Dewan Rakyat hari ini akan tertumpu kepada Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 ini akan berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Oktober sementara Mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak hari ini akan berlangsung mulai 4 hingga 26 Okt.

Dalam pada itu, bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di Parlimen, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini memaklumkan, pelbagai inisiatif dijalankan antaranya pemasangan penapis udara ultra violet di dewan besar Parlimen serta penggunaan teknologi nano di pejabat bagi membunuh bakteria dan virus.

Selain itu, Kementerian Kesihatan turut melaksanakan ujian saringan RT-PCR terhadap 1,801 individu terdiri daripada petugas Parlimen dan individu terlibat dalam persidangan itu pada 10 dan 11 Sept lepas.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan melalui hasil saringan yang dijalankan selama dua hari di Dewan Serbaguna Parlimen itu, seramai 26 individu didapati positif Covid-19 melibatkan seorang Senator dan 25 petugas Parlimen.

Selain itu, terdapat dua Ahli Parlimen dikesan positif hasil saringan di luar kompleks.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here