Agong zahirkan rasa puas hati kepercayaan terhadap PM

0
16
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa puas hati dengan kepercayaan yang diberikan oleh 114 ahli Dewan Rakyat kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kepercayaan oleh 114 Ahli Parlimen itu membolehkan Ismail Sabri yang juga Ahkli Parlimen Bera dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9.

Menyorot kembali peristiwa pada 16 Ogos lalu, Al-Sultan Abdullah bertitah, buat kali kedua dalam tempoh pemerintahan baginda, negara telah sekali lagi menyaksikan peletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia.

Titah Seri Paduka Baginda, seperti yang berlaku pada 2020 yang lalu ekoran peletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-7; amanah berat untuk memilih dan melantik Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 telah beta laksanakan dengan berpandu kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Selaras dengan konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, beta telah memberi peluang kepada semua 220 orang ahli-ahli dewan rakyat untuk menamakan menerusi surat akuan Seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Menerusi surat-surat akuan tersebut, beta mendapati seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah memberi kepercayaan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Bera.

“Pada 19 ogos, setelah menerima menghadap semua 114 ahli Dewan Rakyat tersebut. Beta telah berpuas hati bahawa kepercayaan yang diberikan kepada yang amat berhormat ahli Parlimen Bera, adalah dengan kerelaan mereka sendiri serta dengan tanpa sebarang paksaan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.

Justeru itu, Seri Paduka Baginda bertitah selaras Dengan Perkara 40(2)(A) dan Perkara 43(2)(A) Perlembagaan Persekutuan, baginda berkenan untuk melantik yang Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-9.

Al-Sultan Abdulah juga berharap kerajaan yang baharu dbentuk itu hendaklah segera melipat gandakan usaha untuk memerangi pandemik Covid-19, dan membawa negara serta rakyat keluar dari ancaman pandemik.

“Menerusi amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan tumpuan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan panjang, beta percaya kerajaan ini mampu membuktikan pencapaian awalnya dalam tempoh 100 hari pertama.

“Melangkah ke hadapan, beta ingin menasihatkan kepada semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.

“Justeru, beta menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.

“Beta turut menyambut baik dan amat menghargai usaha-usaha ke arah merialisasikan pendekatan baharu kerjasama dwipartisan antara semua pihak, yang bakal membentuk lanskap politik baharu dan membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara,” titah Al-Sultan Abdullah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here