Ahli Parlimen jalani HSO perlu pakai PPE untuk hadir sesi pengundian di Dewan Rakyat

0
40
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen yang sedang menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) diwajibkan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) untuk hadir ke sesi pengundian di Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, langkah berkenaan pernah dilaksanakan pada persidangan 14 dan 15 Disember lalu, bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

Azhar Azizan berkata, sistem pengiliran juga turut disyorkan melibatkan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, bagi setiap satu jam, sebagai langkah berjaga-jaga.

“Sehubungan itu, di atas meja Yang Berhormat diletakkan surat untuk menjalani ujian RTK air liur secara berkala sepanjang tempoh persidangan ini.

“Ujian untuk ahli-ahli Yang Berhormat ini akan dijalankan di Dewan Bankuet Parlimen pada setiap hari Isnin dan Rabu. Ujian pertama akan bermula esok (Rabu).

“Ujian mengambil masa selama 20 minit dan dibuat apabila Yang Berhormat tiba di Parlimen. Oleh itu, dimohon agar Ahli-ahli Parlimen dapat hadir awal di Dewan Bankuet bagi mengelakkan kelewatan urusan Dewan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, bagi pegawai pula, Azhar berkata, ujian sama akan dijalankan di Dewan Serbaguna.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 bersambung hari kedua hari ini, dijangka memberi tumpuan kepada pemilihan calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Kerusi Timbalan Speaker kosong selepas Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said meletak jawatan pada 23 Ogos lalu.

Datuk Seri Ahmad Maslan dari Barisan Nasional menjadi calon tunggal blok kerajaan bagi mengisi kekosongan jawatan itu dan beliau dijangka dicabar wakil Pakatan Harapan iaitu Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here