Ambil pasport punca Pejabat Pos di Klang diserbu warga Bangladesh

0
115
Tangkap layar seorang petugas pejabat Pos berkenaan yang mengarahkan warga asing berkenaan beratur dan mengikut SOP

KLANG – Tindakan Kedutaan Bangladesh melantik Pos Malaysia sebagai ejen untuk membolehkan warganegara mereka mengambil pasport diperbaharui menjadi punca sebuah cawangannya di sini diserbu sehingga tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata,
insiden pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) itu berlaku sekitar pukul 8.30 pagi dan dilaporkan oleh pengurus pejabat pos terbabit.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal terdapat 130 warga Bangladesh hadir ke Pejabat Pos Jalan Stesen bagi mengambil pasport mereka.

“Ia berikutan, pihak kedutaan Bangladesh melantik Pos Malaysia Cawangan Klang sebagai ejen untuk membolehkan warganegara mereka mengambil pasport diperbaharui.

“Sepasukan pematuhan SOP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kemudian ke lokasi dan meredakan keadaan tidak terkawal itu.

Pihak polis mengawal keadaan selepas video tular mengenai insiden berkenaan

“Kita akan menempatkan pasukan itu di Pos Malaysia cawangan itu bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, satu video berdurasi 14 saat dirakam orang awam tular di media sosial memaparkan warga asing itu sedang beratur secara rapat bagi memasuki pejabat pos berkenaan.

Turut kelihatan seorang wanita dan lelaki iaitu kakitangan pejabat pos berkenaan yang mengarahkan mereka beratur dengan jarak satu meter.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here