Artikel fitnah: Klinik Siti ambil tindakan undang-undang terhadap sebuah laman ‘confessions’

0
2829
Tangkap layar artikel yang disiarkan dalam laman Facebook berkenaan pada 24 Ogos lalu.

CYBERJAYA – Rangkaian penyedia perkhidmatan kesihatan, Klinik Siti yang diuruskan oleh Siti Healthcare Sdn. Bhd. akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah laman sosial yang mengaitkan klinik tersebut sebagai bertindak zalim terhadap pekerjanya.

Menurut pihak pengurusan klinik itu dalam satu kenyataan, artikel bertajuk “Doktor Zalimi Doktor” yang disiarkan dalam laman Facebook sebuah laman ‘confessions’ terkenal sejak dua minggu lalu telah mewujudkan andaian negatif oleh warga maya terhadap Klinik Siti.

“Pihak pengurusan telah melantik peguam untuk menangani perkara ini dan pihak peguam yang dilantik telah menghantar notis tuntutan terhadap pihak berkenaan yang mana tempoh 24 jam telah diberikan untuk membuat permohonan maaf, menarik balik penerbitan artikel tersebut dan ganti rugi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, tuntutan itu telah dihantar pada 30 Ogos lalu.

Pada masa sama, katanya, pihak pengurusan akan mengarahkan peguam untuk memfailkan saman dan pernyataan tuntutan ke dalam mahkamah dalam masa terdekat ini bagi memulihkan nama, imej dan reputasi Klinik Siti.

Menurutnya, pihak pengurusan akan membentangkan segala bukti kepada mahkamah bagi menjawab segala kenyataan fitnah berkenaan.

Dalam artikel bertajuk Doktor Zalimi Doktor itu, seorang doktor yang menggunakan nama samaran sebagai Lily mendakwa pernah bertugas sebagai doktor di sebuah klinik yang hanya dinamakan sebagai Klinik M.

Dakwa Lily, sepanjang bekerja di klinik itu, dia dan petugas kesihatan lain telah dizalimi dan tidak memberikan waktu rehat sehingga menyebabkan tekanan perasaan dan ramai kakitangan yang berhenti.

Malah Lily turut menuduh klinik tersebut cuba menunggang agama kerana berselindung dengan imej Islamik yang dibawa.

Petunjuk yang diberikan oleh penulis itu menyebabkan warga maya yang memberikan komen dalam laman sosial itu mengaitkan kejadian itu melibatkan Klinik Siti.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here