Azalina berhasrat hantar notis bagi Parlimen bahaskan usul ‘Recall Election’

0
91

CYBERJAYA – Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said berhasrat mengusulkan suatu notis Usul Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Azalina, yang juga merupakan Ahli Parlimen Pengerang berkata, usul tersebut, di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk RUU Ahli yang Bukan Ahli Kerajaan dan diharap menjadi titik permulaan memperkenalkan Pilihanraya Pecat atau ‘Recall Election’ pada sidang September ini.

Sebelum ini, Azalina pernah mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pilihan raya bagi memecat wakil rakyat atau Recall Election bagi menghalang mereka yang lompat parti.

Recall Election merupakan mekanisme yang membolehkan rakyat menarik balik mandat yang diberikan kepada wakil rakyat sekiranya seseorang itu melompat parti.

Ini adalah bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan semula di kawasan tersebut untuk membolehkan rakyat memilih wakil rakyat yang baharu.

Mengulas lanjut, Azalina berkata setelah 64 tahun negara meraikan Kemerdekaan, kini terdapat gejala berleluasa di mana wakil-wakil rakyat membelakangi mandat yang diberikan bukan sahaja daripada parti politik, tetapi juga kepercayaan rakyat.

“Ramai rakyat mempersoalkan: Apa ertinya mengundi jika wakil rakyat boleh memajak- gadaikan mandat rakyat selepas pilihan raya?,” kata Azalina lagi.

Beliau menambah, persaingan politik perlu dimurnikan, iaitu bukan dihapuskan, ditekan, ataupun diisi dengan kebencian serta dihuru-harakan.

Tegasnya, demi kemajuan negara, pemimpin politik generasi beliau dan lebih muda, mesti berani bermuafakat dan berpakat untuk menjadikan politik sebagai sesuatu pilihan kerjaya yang profesional, dihormati dan disegani, bukannya dikeji serta dicaci.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here