Bayaran kompaun RM1.1 juta kes Ahmad Maslan bukan pengakuan bersalah – tegas peguam bela

0
81
Datuk Seri Ahmad Maslan

CYBERJAYA – Penyelesaian menerusi pembayaran kompaun sebanyak RM1.1 juta oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan melibatkan dua pertuduhan kes di mahkamah bukan merupakan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Menurut kenyataan peguam belanya, Tetuan Shahrul Hamidi dan Haziq, proses penyelesaian itu dibuat mengikut proses undang-undang dan melalui proses yang telus dan teratur.

Katanya, proses penyelesaian itu adalah semata-mata untuk kes itu dan tiada sebarang kaitan dengan faktor politik.

“Penyelesaian ini merupakan penyelesaian menang-menang bagi semua pihak dan seiring undang-undang.

“Beliau juga telah menyelesaikan komitmen beliau bagi penyelesaian ini iaitu melunaskan pembayaran kompaun sepertimana yang telah dipersetujui pihak pendakwaan dan pembelaan.

“Jumlah kompaun yang dibayar iaitu RM1.1 juta adalah bantuan dan pinjaman daripada rakan-rakan yang telah menyokong beliau,” katanya hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Setiausaha Agung UMNO itu atas dua pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini selepas Ahli Parlimen Pontian itu membayar kompaun sebanyak RM1.1 juta.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu lagi, proses penyelesaian itu bukan perkara baharu dan telah dibuat sejak setahun lalu.

Sementara itu, menyentuh mengenai kelayakannya sebagai ahli Parlimen, menurut kenyataan itu, pembayaran kompaun yang bukan denda mahkamah itu tidak akan menjejaskan kelayakannya sebagai ahli Parlimen dan tidak hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, pengesahan itu dibuat sendiri oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dalam satu inkuiri yang dibuat pada 5 Mei lalu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here