Bekalan air di kawasan terjejas 92.2 peratus pulih – Air Selangor

0
5
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Bekalan air di 463 kawasan terjejas berikutan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dihenti tugas akibat insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih telah mencapai tahap 92.2 peratus pulih setakat pukul 7 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Elina Baseri berkata, daripada lima wilayah Air Selangor yang terjejas, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya telah mencapai pemulihan bekalan air 100 peratus manakala Hulu Langat 92.6 peratus dan Petaling 81.4 peratus.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.”

“Bekalan air di kesemua kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat-peringkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada 6 pagi, esok. Bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air akan terus digerakkan kepada para pengguna dan premis-premis kritikal di kawasan-kawasan yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.

Elinamenambah, Air Selangor berharap para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

“Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang telah mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa,” katanya.

Para pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here