Bekas Menteri agama puji akuan taubat Sittah Annur

0
29
Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

CYBERJAYA – Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri hari ini memuji kesanggupan bekas ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Sittah Annur untuk bertaubat dan mengakui kekhilafannya.

Zulkifli yang juga bekas Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam hantaran di Facebooknya berkata, beliau bersyukur atas pengakuan tabuah (Istitabah) yang dilakukan Sittah Annur dan mendoakan Allah mengampunkan kesilapannya.

“Sejujurnya, saya berbangga dengan kesudian beliau mengakui kekhilafannya.

“Semoga cahaya kebenaran Islam sentiasa menyuluh kehidupan kita,” katanya yang turut memuji tindakan berhemah Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang menganjurkan majlis pengisytiharan taubat itu semalam.

Sittah atau nama sebenarnya Masitah Ab Jalar membuat pengisytiharan itu di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam dan disiarkan secara langsung di laman Facebook JAIS.

Dokumen pengisytiharan taubat itu ditandatanganni Sittah di depan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai Sittah Annur yang mendakwa akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah serta memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.

Wanita itu turut mendakwa dirinya memiliki keistimewaan dan berupaya membuat ramalan berkaitan apa akan berlaku pada masa depan.

Selain itu, dia mendakwa boleh berhubung terus dengan Allah S.W.T, malaikat dan Nabi Muhammad S.A.W.

Pada 3 September lalu, Sittah Annur ditahan polis di kediamannya di sekitar daerah ini dan serbuan turut menemukan resit berjumlah RM84,721, dipercayai hasil sumbangan pengikutnya.

Wanita itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis yang menunggu laporan daripada Jakim mengenai kes tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 masing-masing kerana menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan serta penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here