Bencana cuaca meningkat dalam masa 50 tahun

0
49
GAMBAR HIASAN

GENEVA – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini menyatakan kebimbangan bahawa bencana yang disebabkan cuaca semakin meningkat dalam masa setengah abad ini.

Menurut laporan AFP, kebimbangan itu terkandung dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Organisasi Meteorologi Dunia (WMO) yang mengkaji insiden kehilangan nyawa dan sumber ekonomi yang disebabkan bencana cuaca di antara tahun 1970 hingga 2019.

Laporan tersebut menyebut, secara keseluruhannya, lebih 11,000 bencana cuaca direkodkan di seluruh dunia sejak 1970, yang telah menyebabkan kira-kira 2 juta kematian dan kerugian sebanyak USD3.64 trilion (RM15.12 trilion).

Secara puratanya pula, satu bencana berkaitan cuaca berlaku tiap hari sepanjang 50 tahun ini, menyebabkan 115 kematian dan kerugian sebanyak USD202 juta (RM839 juta) sehari.

“Angka bencana disebabkan cuaca semakin meningkat dan akan menjadi lebih kerap dan lebih buruk di kebanyakan bahagian dunia berikutan pemanasan bumi,” kata Setiausaha Agung WMO, Petteri Taalas dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, kata WMO, jumlah kematian yang direkodkan dalam tempoh itu didapati menurun sebanyak tiga kali ganda.

Secara purata, tahun 70an dan 80an merekodkan angka kematian dalam lingkungan 170 sehari, dan kemudiannya turun kepada 90 dalam era 90an.

Pada era 2010, angka kematian disebabkan bencana cuaca didapati semakin menurun kepada hanya 40 sehari.

Taalas menambah, pengurangan drastik ini berjaya dicapai berikutan pencapaian teknologi dalam sistem amaran awal.

“Secara mudahnya, kita menjadi lebih efisyen dan lebih baik dalam menyelamatkan nyawa,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here