Bicara penuh kes kartel daging pada 14 hingga 16 Disember depan

0
41
Daging Import – Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Perbicaraan penuh kes kartel daging melibatkan sebuah syarikat dijadual berlangsung pada 14 hingga 16 Disember tahun ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.

Rosol berkata, perbicaraan itu susulan pendakwaan di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru yang telah dibuat pada Februari lalu.

“Sebenarnya kita telah mendakwa mereka ini pada Februari 2021. Satu perbicaraan penuh akan diadakan pada 14,15 dan 16 Disember tahun ini.

“Lantaran itu kita meminta kepada masyarakat sekiranya ada perkara yang meragukan, sila laporkan kerana perkara berkaitan halal haram ini adalah sesuatu yang kita tidak boleh kompromi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang mahu tahu status kes kartel daging yang menggemparkan negara sejak dilaporkan Disember tahun lalu.

Pada 2 Disember 2020, media melaporkan mengenai kewujudan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Kartel berkenaan kemudian membungkus semula daging itu menggunakan logo halal sebelum menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia sebelum ia terbongkar hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Dua pengarah dan pengurus syarikat terbabit didakwa atas 21 pertuduhan memiliki, menawar dan menggunakan logo halal palsu serta tanpa kelulusan untuk membekalkan daging sejuk beku.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here