
CYBERJAYA – Peneraju institusi pendidikan awal kanak-kanak, Brainy Bunch menawarkan pulangan wang tunai 100 peratus kepada 1,000 ibu bapa melalui Brainy Bunch Fee Program.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Brainy Bunch, Mohd Fadzil Hashim berkata, program itu ditawarkan kepada pelajar tadika Brainy Bunch dengan pulangan dalam masa 10 tahun.

“Kita (Brainy Bunch) menawarkan 100 peratus pulangan yuran yang telah dibayar oleh ibu bapa. Ini merupakan sebahagian daripada tawaran pendidikan percuma yang kami jalankan.
“Tawaran ini terhad kepada 1,000 pelajar sahaja. Ibu bapa perlu membayar yuran sebanyak RM10,000 dan akan dipulangkan secara berperingkat sebanyak RM1,000 setahun.
“Maknanya tidak rugi apa-apa, tawaran ini kita baharu buka dan Alhamdulillah Sambutannya amat baik daripada kalangan ibu bapa. Ia terbuka kepada pelajar baharu atau sedia ada.

“Pembayaran permulaan itu tidak melalui medium apa pun termasuk kad kredit juga diterima. Ibu bapa diberikan masa selama 30 hari untuk membuat pembayaran,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Fadzil berkata, pengenalan program berkenaan antara lainnya ialah untuk membantu khususnya ibu bapa di Brainy Bunch yang berdepan masalah kewangan.
“Ketika era pandemik Covid-19 ini, macam-macam perkara berlaku dan kita sedaya upaya untuk membantu ibu bapa di Brainy Bunch. Jadi tawaran pulangan semula wang tunai ini salah satunya,” kata Mohd Fadzil.