Bukti lebih mengejutkan libatkan pendakwah terkenal bakal didedah – Firdaus Wong

0
3002
Firdaus Wong

CYBERJAYA – Pendakwah terkenal, Firdaus Wong memberikan bayangan pendedahan yang lebih mengejutkan akan berlaku dalam tempoh terdekat ini susulan kontroversi melibatkan seorang penceramah terkenal yang banyak terlibat dalam kerja-kerja kebajikan.

Beliau yang terlibat dalam mendedahkan butiran perbualan tidak senonoh antara penceramah itu dengan mangsanya berkata, pihaknya juga telah menghubungi mangsa terlibat dan mereka memberikan kata-kata semangat supaya pendedahan tersebut diteruskan bagi membuka mata masyarakat.

“Alhamdulilah semalam telah Google Meet bersama dengan mangsa-mangsa serta ahli keluarga mereka.

“Mereka memberikan kata kata semangat untuk kami meneruskan usaha kami dan mereka mengucapkan Jazakumullahu Khairan (terima kasih) kepada sahabat semua yang semakin terbuka mata melihat kebenaran.

“Insya-Allah sesuatu yang besar bakal berlaku dalam sehari dua ini,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, Firdaus turut mengucapkan kesyukuran apabila semakin ramai yang mula tersedar dengan aktiviti tidak senonoh dilakukan oleh penceramah berkenaan dan bertindak memohon maaf kepada pihaknya.

Antara mesej permohonan maaf yang diterima Firdaus Wong

Pada masa sama, katanya, pihaknya juga memaafkan semua pihak walaupun sebelum ini mereka pernah bersangka buruk, menghina, memaki hamun, melabel serta memfitnah.

“Sebagaimana kami pernah sebut secara konsisten selama ini, kami memaafkan semua yang pernah sangka buruk, hina, memaki hamun, melabel serta memfitnah kami kerana kejahilan dan ketaasuban yang menyebabkan emosional tinggi dan bertindak kurang rasional.

“Kami memohon maaf kerana tidak mampu membalas begitu banyak mesej yang masuk untuk meminta maaf.

“Untuk yang terus menerus memaki hamun, menghina, melabel serta memfitnah kami kononnya kami melanggar prinsip agama, untuk maklumat anda, bersama kami ada ilmu dqn tokoh akademik pakar dalam kefatwaan hukum hakam dari pelbagai manhaj seperti salafi, asyairah, maturidiyyah, pondok dan tabligh.

“Kami tidak akan membalas provokasi dan cemuhan anda. Kami doakan anda dikurniakan kesedaran agar perbuatan anda tidak menjadi penyesalan di Padang Mahsyar kelak.

“Kami memaafkan anda semua dan kami mencintai sahabat semua kerana Allah,” ujarnya.

Kelmarin Firdaus mengejutkan banyak pihak apabila mendedahkan butiran perbualan lucah yang didakwa berlaku antara penceramah yang banyak melakukan kerja-kerja kebajikan itu bersama mangsanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here