CDM Paralimpik nafi Ziyad lewat 28 minit

0
204
Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (kanan) bersama wakil kontinjen Ukraine

TOKYO – Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menafikan dakwaan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli lewat ke lokasi pertandingan lebih 28 minit.

Megat D Shahriman berkata, laporan yang dibuat oleh akhbar itu pada Jumaat lepas yang memetik sumber kontinjen negara itu adalah tidak tepat selain tidak pernah memberi sebarang input kepada mana-mana pihak mahupun pemberita berkenaan.

“Saya menyangkal dakwaan laporan akhbar itu. Cerita yang diberikan sumber itu tunggang-langgang,” katanya memetik laporan Bernama.

Megat D Shahriman berharap individu yang melakukan tindakan sedemikian agar lebih bertanggungjawab kerana sebarang spekulasi yang tidak benar mampu menjejaskan proses siasatan melibatkan isu penarikan semula pingat emas Muhammad Ziyad yang menyertai acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia sedia dihubungi oleh pihak media pada bila-bila masa sekiranya mereka mahu mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu berkenaan.

Laporan sebuah akhbar Jumaat lalu yang memetik satu sumber dalaman

Selasa lepas, Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia.

Beliau telah diklasifikasikan sebagai “Did Not Start (DNS)” atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here