Covid-19: 38 kes babitkan varian Delta, Beta dikesan di Kelantan

0
38
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Angka jangkitan kes Covid-19 membabitkan varian Delta dan Beta di Kelantan terus meningkat secara mendadak sejak awal minggu ini

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sejak Isnin lalu sebanyak 38 kes jangkitan membabitkan varian Delta dan Beta dikesan di negeri itu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 13 jangkitan adalah kes penularan varian Delta dan 25 varian Beta.

“Pertambahan varian Delta itu amat membimbangkan memandangkan jangkitan varian berkenaan sudah ada dalam komuniti.

“Jangkitan varian itu sudah menular di beberapa daerah dan semua masyarakat perlu lebih berhati-hati untuk mengelakkan penularan Covid-19,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Menurut Dr Zaini, berbanding sebelum ini, hanya terdapat tiga kes jangkitan varian Delta, tetapi ianya mula bertambah sejak bulan ini.

Dr Zaini berkata, orang ramai dinasihatkan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan jauhi tempat sesak berikutan beberapa sektor termasuk ekonomi dan pelancongan mula dibuka mengakibatkan banyak pergerakan.

“Vaksinasi lengkap bukan bermakna kita dilindungi secara total, namun tanggungjawab menjaga SOP perlu diutamakan termasuk memakai pelitup muka dan digalakkan menggunakan dua keping pelitup muka.

“Kepada mereka yang mula berkunjung ke pusat pelancongan atau tumpuan ramai, kita harap mereka jaga penjarakan sosial. “Sekiranya ada gejala, dinasihatkan supaya menjalani kuarantin kendiri untuk mengelakkan risiko jangkitan kepada orang di sekeliling,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here