Cukai RM1.7 bilion: Najib buat laporan polis terhadap LHDN

0
451
Laporan polis yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap LHDN

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat satu laporan polis terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas mendakwa mendapat maklumat terdapat pegawai tinggi agensi kerajaan itu menyalahgunakan kuasa ketika mengenakan caj penalti berjumlah RM1.7 bilion terhadapnya.

Najib berkata, beliau juga mendapat maklumat bahawa pegawai atasan berkenaan mendapat arahan daripada pemimpin politik tertentu untuk mengenakan jumlah penalti yang disifatkan tidak masuk akal itu.

“Berdasarkan maklumat serta bukti kukuh saya terima, saya telah membuat laporan polis terhadap LHDN tengah hari ini.

“Saya dimaklumkan secara sahih bahawa pegawai-pegawai terbabit serta ahli-ahli politik tertentu dipercayai dengan jelas melanggar Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta SPRM yang membabitkan salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najib berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya kes cukai tambahan RM1.7 bilion itu telah disiasat sebanyak tiga kali sejak 2018.

Bagaimanapun dakwanya, sumber dalamannya itu memaklumkan mereka tidak menemui sebarang kesalahan yang dilakukan dan tiada penalti cukai yang patut dikenakan terhadapnya.

“Namun, selepas tiga kali siasatan itu selesai dan hasilnya jelas saya tidak melakukan sebarang kesalahan mengikut undang-undang, ada pegawai tertinggi LHDN yang mengarahkan untuk teruskan penalti cukai terhadap saya kerana telah diarahkan oleh ahli-ahli politik tertentu.

LHDN

“Sudah tentu ini menggusarkan kerana arahan tindakan itu lanjutan dari arahan ahli politik dan bukan bersandarkan kepada fakta siasatan, serta asas undang-undang malah ini membuang masa banyak pihak terutama diri saya sendiri dan jelas menyalahgunakan kuasa,” katanya.

Pada masa katanya, pegawai atasan tersebut mendapat arahan untuk tidak membenarkan kes itu dibawa ke Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) untuk mempertikaikan keabsahaan pengiraan LHDN untuk rayuan.

“Berhubung dengan itu juga, saya mempelawa semua pihak terutamanya juruaudit cukai untuk memeriksa fail cukai pendapatan saya yang telahpun dikemukakan kepada mahkamah.

“Saya juga akan menulis surat kepada pihak LHDN bagi memberi kebenaran kepada mereka untuk dedahkan fail cukai pendapatan saya bagi tahun-tahun berkenaan kepada mana-mana pihak yang berminat supaya mereka boleh lihat sendiri keabsahaan denda cukai tambahan terhadap saya yang langsung tidak masuk akal dan melangkaui undang-undang,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here