Dewan Rakyat kecoh, Rayer diarah keluar Dewan

0
287
RSN Rayer diarahkan keluar Dewan selepas enggan menarik balik perkataan ‘memalukan’.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (Pakatan Harapan) diarah keluar Dewan dan digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama dua hari.

Rayer diarah keluar selepas enggan menarik balik perkataan ‘memalukan’ ketika mempersoalkan keputusan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Terdahulu Mohd Rashid tidak memperincikan alasan mengapa usul menggantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ditolak

Mohd Rashid sebelum itu memaklumkan bahawa beliau telah menerima 14 usul berhubung perkara tersebut, masing-masing 12 daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan dua lagi daripada PKR.

Bagaimanapun, kesemua usul tersebut ditolak kerana tidak menepati Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

“Maka setiap yang memberikan usul tersebut telah saya jawab secara bertulis kepada setiap pengusul-pengusul. Sila baca jawapan-jawapan tersebut dan keputusan saya adalah muktamad.

“Tetapi rayuan boleh dibuat, namun tidak ada rayuan, itu keputusan saya muktamad. Sekiranya lulus, maka akan masuk dalam Urusan Aturan-Aturan Mesyuarat, Jadi, saya tak perlu buka kepada media atau memaklumkan kepada sesiapa, saya hanya jawab kepada pengusul-usul itu sahaja,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, jawapan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli Parlimen blok pembangkang yang menyifatkan ia perlu dimaklumkan kepada Dewan Rakyat.

Rayer kemudian bangun untuk mempersoalkan keputusan Mohd Rashid.

“Kenapa tidak dimaklumkan kepada Dewan, sekarang ada di sini, ini perkara yang cukup penting. Kita semua di sini rakyat semua nak dengar jawapan.

“Timbalan Speaker, jangan salah guna kuasa, rakyat sedang memerhati. Memalukan,” kata Rayer.

Susulan itu, Mohd Rashid mengarahkan menarik balik perkataan ‘memalukan’.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang turut dilihat menyokong tindakan Rayer untuk tidak menarik balik perkataan tersebut dan mengecam Mohd Rashid.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here