Dua pemain hoki wanita dapat peluang beraksi di England

0
18

CYBERJAYA – Dua pemain hoki wanita negara mendapat peluang beraksi di Liga Hoki England apabila menerima tawaran menyertai East Grinstead H.C. selama sebulan.

Menurut Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), kedua-dua pemain senior itu, Nuraini Abdul Rashid dan Fatin Shafika Mohd. Sukri akan berlepas ke England pada minggu ini dan beraksi bersama pasukan naib juara Liga Hoki England (Premier) 2020 itu hingga 18 Okt bagi mencabar kejuaraan musim 2021.

Bagi Nuraini, ini merupakan penampilan ketiganya bersama skuad East Grinstead.

Beliau sebelum pernah pernah beraksi dengan pasukan berkenaan pada September hingga Disember 2019, dan Februari hingga April 2020.

“Liga di sana dan di negara kita pastinya berbeza kerana England adalah tiga pasukan terbaik di Sukan Olimpik Tokyo dan dalam pasukan East Grinstead sendiri, terdapat tiga pemain beraksi di Olimpik, jadi banyak ilmu yang pastinya boleh saya pelajari daripada mereka.

“Sudah semestinya saya teruja untuk kembali beraksi bersama mereka dan dalam masa sama, saya mahu terus mengumpul pengalaman sebanyak boleh serta terus belajar perkara-perkara baharu dengan mereka,” kata Nuraini dalam satu kenyataan dikeluarkan KHM, semalam.

Sementara itu, bagi Fatin Shafika pula, peluang beraksi bersama East Grinstead akan menjadi pengalaman pertama buat dirinya.

Fatin sebelum ini pernah menyertai Kelab Hoki Butterfly Roma di Rome, Itali bermula September hingga November 2018 bersama-sama Nuraini ketika itu, dan kembali bersama pasukan sama sekali lagi dari September hingga November 2019.

“Sudah tentu saya gembira dan sangat teruja untuk beraksi di saingan Liga Hoki England.

“Peluang yang diberikan ini saya mahu menggunakannya dengan sebaik mungkin. Saya juga mahu tunjukkan kepada mereka bahawa pemain-pemain Malaysia juga mempunyai kualiti untuk beraksi bersama mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here