Dua suspek penipuan jualan online kaut RM150,000 ditahan

0
98
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Dua suspek berusia 32 dan 53 tahun ditahan polis berhubung kes penipuan jualan barang elektronik dengan potongan harga ‘luar biasa’ secara atas talian.

Penahanan suspek dibuat selepas siasatan dilakukan terhadap laporan orang ramai mengenai sindiket jualan yang beroperasi melalui akaun Instagram ‘Beauty_Saranghae’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, suspek yang ditahan pada awal bulan lalu bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, pihaknya menyiasat 64 kes membabitkan laporan akaun Instagram terbabit yang melibatkan nilai kerugian sebanyak RM153,759.

Katanya, siasatan mendapati suspek menggunakan modus operandi tawaran harga yang lebih murah daripada pasaran sehingga berjaya memperdaya ramai mangsa membuat bayaran.

“Pembeli yang berminat diarahkan untuk membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan.

“Namun, setelah pembayaran dibuat, barangan yang dijanjikan tidak diterima,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mohd Kamarudin berkata, sepanjang 2019 hingga 30 Ogos 2021, polis telah menyiasat sejumlah 15,785 kes penipuan secara atas talian atau e-Commerce melibatkan kerugian keseluruhan RM110,596,301,37.

Katanya, sejumlah 3,512 kes dicatatkan pada tahun 2019 dengan kerugian RM28,033,387.22 dan tahun 2020 sejumlah 5,846 kes dicatatkan dengan nilai kerugian mencecah RM41,432,531.48.

“Manakala bagi tempoh Januari hingga 30 Ogos 2021, sejumlah 6,428 kes telah dicatatkan melibatkan kerugian RM41,130,382.67.

“Dalam usaha untuk mencegah kes-kes sebegini dari terus berlaku, pihak polis menggesa orang ramai untuk lebih berhati-hatu dan sentiasa berwaspada apabila membuat pembelian barangan secara atas talian.

“Orang ramai digalakkan untuk membuat semakan pengesahan akaun bank, dan talian telefon melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenalpasti sama ada akaun bank tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan ataupun tidak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here