Ekonomi kita musnah, ketahui apa pelan untuk bangun semula

0
83
Mohd Fadzil Hashim

CYBERJAYA – Pemulihan semula ekonomi negara yang musnah akibat penularan Covid-19 memerlukan semangat perjuangan dan penyatuan kuasa ekonomi masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Pengasas Kumpulan Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim berkata, tanpa penglibatan dan kerjasama seluruh rakyat sebagai anggota dalam ‘Keluarga Malaysia’, permasalahan asas dalam ekonomi tidak mungkin dapat diselesaikan.

“Covid-19 telah menghancurkan asas ekonomi, keluarga dan usahawan kita. Ada syarikat yang sudah dibina berpuluh tahun akhirnya mati begitu sahaja.

“Jadi kita perlukan kerjasama taikun-taikun dan usahawan dari pelbagai bangsa untuk sama-sama kumpulkan semula kuasa ekonomi sama ada sebagai pembeli atau sebagai usahawan.

“Kita harap ini dapat membahagikan kekayaan ekonomi negara secara sama rata. Kita bersatu sebab Covid-19 dah hancurkan ekonomi kita,” katanya sempena sambutan Hari Malaysia di Malakat Mall, Cyberjaya hari ini.

Majlis turut dihadiri Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM), Syaraff al-Sadat.

Penularan wabak Covid-19 yang memberi impak teruk kepada ekonomi negara.

Mohd. Fadzil berkata, saranan beliau yang merupakan sebahagian daripada intipadi ‘Pelan Tindakan Transformasi Keluarga Malaysia’ itu adalah pendekatan pemulihan semula ekonomi secara lebih meluas tanpa meninggalkan perjuangan ekonomi umat Islam.

Ia juga diharap dapat melibatkan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat negara ini yang terkesan akibat kemerosotan ekonomi.

“Dahulu kita buat gerakan dengan NGO-NGO Islam. Alhamdulillah kempen itu berjalan dan akan diteruskan. Ramai yang tidak faham, ingat ia adalah perjuangan melawan orang bukan Islam walhal ia hanyalah sub-seksyen yang kecil daripada perjuangan ekonomi negara,” katanya.

Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, penglibatan semua kaum dalam sektor ekonomi negara perlu kerana berkait dengan rantaian ekonomi dari peringkat pengguna, peruncit dan pembekalan.

“Jadi sempena Hari Malaysia, saya menyeru rakan perniagaan kita berbangsa Cina, India dan bangsa-bangsa bumiputera yang lain. Ayuh kita satukan matlamat untuk ambil tanggungjawab bagi menyelesaikan masalah asas ekonomi negara yang sudah musnah,” katanya.

Mohd. Fadzil berkata, selain membangunkan semula ekonomi, penyatuan kuasa ekonomi negara juga perlu mengambil kira penguasaan syarikat asing di negara ini yang secara berterusan ‘merampas’ dan menjarah hak serta kuasa ekonomi rakyat negara ini.

Katanya, dianggarkan 60 peratus daripada RM110 bilion pendapatan dikaut oleh syarikat asing di negara ini setiap tahun tanpa memberi banyak ‘manfaat’ ekonomi baik dari segi tawaran pekerjaan, gaji atau manfaat.

“Jadi kenapa kita nak bagi kepada mereka, kecuali dalam sektor yang kita tiada kepakaran. Dalam sektor peruncitan, kita mampu untuk melibatkan diri, jadi peluang perlu diagihkan kepada usahawan tempatan tapi ini tidak berlaku,” ujarnya.

Penglibatan pemain sektor peruncitan dari semua peringkat dan kaum akan memberi limpahan keuntungan kepada semua.
Intipati Pelan Tindakan Transformasi Keluarga Malaysia

Justeru, beliau menyeru rakyat Malaysia supaya bersama-sama ‘memindahkan’ perbelanjaan daripada syarikat asing kepada syarikat milik tempatan dengan matlamat dapat mengurangkan monopoli syarikat asing di negara ini.

“Sasaran kita adalah untuk mengurangkan sebanyak 50 peratus daripada penguasaan 65 peratus pendapatan yang dikaut syarikat asing dalam tempoh 10 tahun.

“Melalui cara ini limpahan ekonomi akan memberi manfaat kepada syarikat tempatan sekaligus memberi kelebihan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Di dalam Pelan Tindakan Transformasi Keluarga Malaysia yang dibentangkan, Coach Fadzil memberi penekanan kepada beberapa perkara yang dapat memulihkan ekonomi negara.

Antaranya sasaran gaji minimum RM5,000 dan pendapatan minimum RM50,000 kepada usahawan yang dalam jangka masa panjang akan dapat membantu rakyat menambah kuasa membeli dan membolehkan kerajaan meraih pungutan cukai lebih tinggi seperti di negara-negara maju.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here