Firdaus Wong dedah video sumpah laknat ahli keluarga mangsa serangan seksual penceramah terkenal

0
1724
Tangkap layar video sumpah laknat oleh abang kepada mangsa serangan seksual penceramah terkenal yang dimuat naik oleh Firdaus Wong dalam Telegram miliknya.

CYBERJAYA – Pendakwah terkenal, Firdaus Wong mendedahkan satu video baharu melibatkan sumpah laknat yang dibuat oleh seorang ahli keluarga mangsa gangguan seksual oleh seorang penceramah yang terkenal dengan kerja-kerja kebajikan.

Video berdurasi 46 saat itu dimuatnaik menerusi media sosial Telegram miliknya sebentar tadi.

Menurut Firdaus, video sumpah laknat daripada abang mangsa sebagai saksi itu bagi membuktikan adiknya menerima mesej serta video call lucah daripada penceramah itu sehingga mengalami kemurungan, tekanan dan cuba membunuh diri.

“Buat masa ini, nama dan wajah mereka dirahsiakan dahulu. Akan tiba masanya mereka semua akan tampil ke khalayak ramai demi sebuah kebenaran.

“Ini adalah keluarga contoh yang menyokong jihad ahli keluarga mereka yang menerima mesej terkutuk sebegitu.

“Semoga Allah bantu mereka yang membantu menegakkan kebenaran,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Firdaus berkata, pihaknya juga mendapat sokongan daripada keluarga mangsa supaya video sumpah laknat itu didedahkan.

Semalam, Firdaus terus mengejutkan seluruh negara apabila mendakwa mempunyai bukti baharu berhubung salah laku penceramah berkenaan.

Sebelum itu, Firdaus telah mengeluarkan satu mesej perbualan lucah antara individu berkenaan bersama mangsanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here