Goh Jin Wei umum persaraan dalam dunia badminton

0
86
Goh Jin Wei

CYBERJAYA – Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei mengejutkan dunia badminton, apabila mengumumkan persaraannya daripada sukan itu hari ini.

Pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu mengumumkan persaraan pada usia muda iaitu pada umur 21 tahun itu menerusi saluran Youtube miliknya – Wei’s Space.

Jin Wei menyatakan antara sebab keputusannya itu kerana tempoh pemulihan yang panjang selepas menjalani pembedahan akibat sakit di bahagian perut pada 2019.

“Saya telah bersama pasukan kebangsaan untuk tujuh tahun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk peluang dan juga kepada semua rakan dan peminat.

“Saya harap semua kekecewaan dan impian saya, akan dapat diteruskan oleh rakan-rakan seperjuangan, Lee Zii Jia dan Lai Pei Jing,” katanya di saluran Youtube miliknya.

Sabtu lalu, BAM tidak menyenaraikan Jin Wei dalam skuad Piala Sudirman disebabkan ‘tidak bersedia dari segi fizikal’ untuk kejohanan berpasukan campuran itu, tetapi menyenaraikannya untuk Piala Uber.

Piala Sudirman dijadualkan berlangsung di Vantaa, Finland dari 26 Sept hingga 3 Okt, manakala akhir Piala Thomas dan Piala Uber di Aarhus Denmark dari 9 hingga 17 Okt.

Jin Wei pernah menjuarai Piala Dunia Remaja dua kali pada edisi Lima 2015 (Peru) dan Markham 2018 (Kanada).

Selain itu, beliau juga memenangi gelaran di Sukan Olimpik Remaja Buenos Aires 2018 dan Sukan SEA Kuala Lumpur.

Dilihat sebagai juara perseorangan wanita yang akan datang, Jin Wei berada dalam kelompok 25 pemain terbaik dunia, dengan menduduki tempat ke-24 pada Ogos 2018.

Bagaimanapun, ketika ini Jin Wei menduduki tempat ke-103 dunia selepas berehat panjang selepas pembedahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here