Guru KAFA, pegawai masjid, jurunikah tolak divaksin berkemungkinan tidak dibenar bertugas lagi

0
621
Sharafuddin of Selangor
Sultan Sharafuddin Idris Shah

CYBERJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi amaran kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah yang menolak divaksin berdepan kemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas.

Baginda bertitah, ini kerana tindakan mereka itu boleh membahayakan orang di sekeliling.

“Bagi golongan ini yang memilih untuk tidak mahu divaksin, beta amat dukacita kerana mereka akan membahayakan diri mereka sendiri dan orang ramai. Beta bimbang jika masih ada guru-guru KAFA yang tidak divaksin, ia boleh memudaratkan para pelajar.

“Golongan ini sepatutnya mengetahui bahawa jika seseorang itu dijangkiti dengan virus Covid- 19, suntikan vaksin akan dapat mengelakkan mereka daripada menerima kesan yang lebih buruk dan dapat mengelakkan kematian. Malah Beta difahamkan sejumlah besar kematian akibat Covid-19 di Selangor ini adalah di kalangan mereka yang tidak divaksin.

“Beta ingin mengingatkan kepada guru-guru KAFA yang masih berdegil ini, mereka berdepan kemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas. Begitu juga kepada pegawai-pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin, mereka juga berhadapan dengan tindakan yang sama,” titah baginda hari ini.

Vaksin Sinovac diberikan kepada penerima vaksin COVID-19 sempena Program Vaksinasi Bergerak Wilayah Prihatin di PPR Perkasa, Jalan Cochrane. Foto / FaridJanudin

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin bertitah, terdapat seramai 326 orang guru KAFA belum mendapat suntikan vaksin Covid-19 dan 95 orang daripadanya enggan menerima suntikan vaksin berkenaan.

“Sementara itu, seramai 59 orang pegawai masjid belum mendapat suntikan vaksin Covid-19, dengan 11 orang lagi enggan berbuat demikian manakala, sembilan orang jurunikah pula masih belum divaksin dan enam dikenal pasti enggan menerima vaksin.

‘Beta berharap pihak Jabatan Kesihatan Selangor dapat menyegerakan proses vaksinasi Covid-19 terhadap guru-guru KAFA, pegawai-pegawai masjid dan jurunikah di negeri ini,” titah baginda.

Sementara itu baginda turut menzahirkan kebimbangan apabila terdapat 268 orang guru sekolah rendah kebangsaan dan 182 orang guru sekolah menengah kebangsaan di Selangor enggan divaksin.

Titah baginda, tindakan itu boleh membahayakan pelajar sekolah rendah dan menengah di Selangor.

Sehubungan itu, baginda bertitah supaya pihak yang berwajib mengambil tindakan segera.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here