Guru tolak divaksin tidak dibenar mengajar secara bersemuka

0
159
Datuk Dr Radzi Jidin

KANGAR – Kira-kira 2,500 guru sekolah yang enggan menerima vaksin Covid-19 tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka apabila sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober nanti.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini kerana timbul persoalan terhadap guru yang enggan menerima vaksin itu.

“Pada waktu ini, terdapat 2,500 guru enggan divaksinkan di negara ini dan kita akan terus mengadakan sesi libat urus bersama mereka.

“Apabila sekolah dibuka kelak, guru yang tidak divaksinkan ini tidak boleh mengajar secara bersemuka di dalam kelas serta berinteraksi dengan pelajar.

“Namun begitu, Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan garis panduan tugasan untuk guru yang tidak divaksin ini dan pada masa sama, kita sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkenaan tindakan yang boleh diambil terhadap guru yang masih belum divaksinkan ini,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Gambar hiasan

Terdahulu beliau menghadiri Sesi Libat Urus Menteri Kanan Pendidikan Bersama Guru Sekolah Rendah Negeri Perlis di sebuah hotel, di sini hari ini.

Katanya, tindakan yang diambil itu adalah mengambil kira keadaan semasa terutama menjelang pembukaan sekolah kelak.

“Jumlah ini tidak ramai dan hanyalah segelintir daripada lebih 400,000 guru di negara ini jadi kita hendak jaga anak kita di sekolah supaya ibu bapa yakin persekitaran di sekolah itu selamat untuk anak kita.

“Ada guru yang tidak dapat divaksin ini atas masalah kesihatan namun ada juga guru yang memberi alasan seperti tidak yakin akan keberkesanan vaksin ini menyebabkan mereka menolak untuk menerima vaksin ini serta pelbagai alasan lagi.

“Segala alasan yang diberikan ini akan diteliti satu persatu dan kita minta supaya pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pusat Pendidikan Daerah (PPD) bertemu dengan jelaskan kepada guru ini terhadap keperluan vaksin ini kerana kita mahu pastikan ekosistem keseluruhan sekolah ini adalah selamat untuk anak kita,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 85.26 peratus guru di negara ini sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

“Sementara itu, sebanyak 96.7 peratus sudah menerima satu dos vaksin dan pada masa sama juga, kakitangan sokongan di sekolah termasuk pekerja kantin, kita turut mahu pastikan staf sokongan sekolah yang terdiri sektor pekerja kantin, kebersihan dan keselamatan divaksinkan,” katanya.

Beliau berkata kementerian sudah pun mengeluarkan makluman kepada kumpulan itu iaitu mereka yang berada di kawasan sekolah mesti di vaksin.

“Terdapat 73.71 peratus kakitangan perkhidmatan sokongan sekolah sudah lengkap menerima dua dos vaksin manakala 89.35 peratus lagi pula sudah pun menerima satu dos suntikan vaksin,” katanya.

Radzi berkata, sesi pengajaran ketika pembukaan sekolah pada 3 Oktober hadapan akan diputuskan kelak berdasarkan situasi negeri mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara.

“Malah, terdapat perbezaan dari sudut pendekatan pengajaran juga dijalankan mengikut negeri pada fasa PPN ini.

“Segala mekanisma pengajaran ini akan dimaklumkan kelak sebelum bermulanya sesi pembukaan sekolah nanti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here