HQA terima hampir 5,000 permohonan kuarantin selepas seminggu dilancar

0
15
Dr Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Sebanyak 4,883 permohonan untuk menjalani kuarantin di rumah direkodkan melalui portal (Home Quarantine Application – HQA) yang diwujudkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sejak seminggu dilancarkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada permohonan pengembara untuk memasuki negara ini, sebanyak 1,741 atau 35.7 peratus permohonan telah diproses dan sebanyak 1,612 (33 peratus) telah diberikan kelulusan untuk menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman.

“Daripada sejumlah 5,947 individu pemohon tersebut, kebanyakannya melibatkan pemohon warganegara Malaysia iaitu seramai 3,921 orang (65.9 peratus), diikuti oleh bukan warganegara 1,910 orang (32.1 peratus) dan pemastautin tetap Malaysia iaitu sebanyak 116 orang (2.0 peratus).

“Walau bagaimanapun, sistem permohonan atas talian ini masih dalam proses peralihan dan dijangkakan portal ini akan digunakan secara sepenuhnya mulai Oktober 2021,” katanya menerusi kenyataan media.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, KKM mensasarkan lebih banyak permohonan akan dapat diproses dalam tempoh kurang dari tiga hari selepas ini.

“Sistem ini juga akan ditambah baik dari semasa ke semasa, dan KKM mengucapkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama dan cadangan yang telah diberikan.

Selain itu, kata beliau, KKM ingin menasihati semua pemohon yang telah diberikan kemudahan tersebut agar mematuhi arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin di rumah sepenuhnya agar dapat mengurangkan risiko daripada menyebarkan penyakit Covid-19 kepada keluarga dan komuniti.

“Perihal ini amat penting bagi mengelakkan penularan varian-varian yang baharu terutamanya Variant of Concern (VOC) atau Variant of Interest (VOI) ke dalam negara.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu bagi menjayakan proses pembukaan semula dengan selamat (reopening safely),” katanya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melancarkan Portal HQA sebagai persiapan menghadapi pertambahan kemasukan pengembara dari luar negara atas pelbagai tujuan.

Portal khas ini diwujudkan bagi memudahkan urusan permohonan kuarantin di rumah atau tempat kediaman kepada pengembara dari luar negara yang tiba di Malaysia melalui pelbagai Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

Menerusi Portal HQA ini, pemohon perlu mengemukakan permohonan di antara tujuh hari ke 10 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here