
CYBERJAYA – Hujan dan kawasan yang agak padat dengan atlet acara-acara lain menjadi punca Ziyad Zokefli dan dua atlet dari Ecuador dan Australia tiba lewat di ‘Call Rooms’.
Ekoran masalah itu, ketiga-tiga atlit berkenaan telah terhalang untuk memasuki pusat panggilan dan pada ketika itulah mereka didakwa telah lewat melaporkan diri.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ti Lian Ker berkata, terdapat bantahan lisan oleh pegawai dari Ukraine pada ketika itu bahawa ketiga-tiga atlit tersebut sepatutnya tidak dibenarkan masuk ke pusat panggilan.

“Selepas merayu supaya dibenarkan masuk ke pusat panggilan, maka mereka dibenarkan untuk menyertai pertandingan secara bersyarat ( under protest ) seperti yang dibenarkan dalam peraturan pertandingan.
“Semasa pertandingan berlangsung, pegawai pasukan Malaysia telah menerima pesanan ringkas bahawa terdapat bantahan rasmi terhadap penyertaan atlit negara dan atlit Ecuador dan Australia.
“Pengadil pertandingan mengklasifikasikan bahawa penyertaan ketiga-tiga atlit tersebut adalah bersyarat dan akan dianggap Did Not Start (DNS).

“Pegawai Malaysia termasuk Ecuador dan Australia diminta hadir sekiranya ingin membuat rayuan terhadap keputusan pengadil tersebut.
“Pada ketika itu Ziyad telah pun mencatatkan keputusan pecah rekod seperti yang disaksikan oleh seluruh dunia.
“Kontinjen Malaysia diketuai oleh Ketua Kontinjen, Datuk Seri Megat D Shahriman bersama-sama delegasi dari Ecuador dan Australia telah mengemukakan penjelasan dan seterusnya mengemukakan rayuan rasmi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, kemenangan Muhammad Ziyad dibatalkan berikutan protes dari kem Ukraine kerana mendakwa atlet negara itu lewat memasuki bilik menunggu.

Muhammad Ziyad sebelum itu meraih pingat emas dalam acara lontar peluru F20 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dengan lontaran sejauh 17.94 meter di Stadium Olimpik, Tokyo.
Namun kem Ukraine tampil melakukan protes apabila mendakwa tiga atlet, Muhammad Ziyad, Todd Hodgetts dari Australia dan Jordi Patricio dari Ecuador lewat memasuki bilik menunggu.
Menurut Lian Ker, keputusan Juri Rayuan Olahraga tetap memihak kepada keputusan awal pengadil pertandingan yang memutuskan bahawa kesalahan telah dilakukan oleh ketiga-tiga atlet tersebut.
Selain itu katanya, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Persatuan Olahraga Para Malaysia akan membuat bantahan rasmi kepada Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletic (WPA).
“Bantahan itu dibuat supaya dipertimbangkan semula rayuan ketiga-tiga negara tersebut agar penyertaan dan catatan mereka bagi acara Shot Put F20 Para Olahraga di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 perlu diiktiraf sebagai penyertaan dan catitan rasmi kejohanan tersebut.
“Namun demikian, bantahan ini hanya boleh dilakukan selepas temasya Tokyo Paralimpik 2020 berakhir. Sementara itu, kita terpaksa menerima keputusan acara tersebut seperti yang diputuskan,” katanya.